KENYATAAN MEDIA
YAB. MOHAMED AZMIN BIN ALI
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
26 Disember 2014
Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Khas yang
bermesyuarat pada pagi ini telah mengambil maklum situasi banjir di
Pantai Timur Semenanjung Malaysia khususnya di Negeri Kelantan,
Terengganu, Pahang dan juga Negeri Perak. Sehingga malam semalam,
dilaporkan seramai 98,596 orang daripada 25,725 keluarga telah
dipindahkan ke 1,078 buah Pusat Pemindahan Banjir ; 35,331 orang
daripada 9,918 keluarga di Kelantan, 29,604 daripada 7,317 keluarga di
Terengganu 28,578 daripada 7,244 keluarga di Pahang dan 5,083 orang
daripada 1,246 keluarga di Perak.
Kerajaan dan rakyat Negeri
Selangor amat bersimpati dengan mangsa – mangsa banjir dan keluarga
masing – masing yang menanggung kesusahan dan mengalami kerosakan harta
benda akibat bencana banjir yang disifatkan paling buruk dalam tempoh 43
tahun.
Kami memohon doa ke hadrat Allah SWT agar cuaca bertambah
baik dalam masa terdekat dan semua yang terkesan dengan bencana ini
berada dalam keadaan selamat. Kami juga memohon semoga rakyat di Negeri
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak bersabar dan tabah menghadapi
musibah dan agar keselamatan dan kesejahteraan rakyat terus dilindungi
dan dipelihara Allah SWT.
Saya telah berbincang dengan YB Dato’
Seri Anwar Ibrahim, Penasihat Ekonomi Negeri Selangor bagi meneliti
langkah – langkah yang perlu diambil dalam membantu negeri – negeri yang
terlibat.
Saya juga telah menghubungi YB Datuk Paduka Husam Musa
bagi menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri Selangor untuk bersama – sama
Kerajaan Negeri Kelantan dalam situasi yang getir pada masa ini.
Sebagai tanda simpati Kerajaan Negeri Selangor, MMKN telah meluluskan
sejumlah RM 1 juta untuk Kerajaan Negeri Kelantan ; RM 100 ribu masing –
masing untuk Kerajaan Negeri Terengganu, Kerajaan Negeri Pahang dan
Kerajaan Negeri Perak.
Kerajaan Negeri Selangor juga menyediakan
peruntukan RM 200 ribu bagi Misi Bantuan Kemanusiaan yang akan
diselaraskan oleh YB Dr. Daroyah Alwi, Pengerusi Jawatankuasa Tetap
Kesihatan, Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Keluarga melalui Pertubuhan
Misi Bantuan Kemanusian Selangor (PANTAS) yang akan turun bagi memberi
khidmat bantuan dan khidmat kemanusiaan.
Untuk program pasca
bencana banjir, Kerajaan Negeri Selangor telah bersetuju untuk
memberikan khidmat kerja – kerja pembersihan kawasan banjir dengan
penglibatan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Selangor.
Seluruh jentera PBT Negeri Selangor akan diturunkan untuk kerja – kerja
pembersihan sebaik sahaja air semakin surut bagi tujuan pembersihan
sampah sarap dan sisa pepejal akibat banjir bagi menjamin kebersihan dan
keselamatan rakyat.
Kerajaan Negeri Selangor juga akan
mendapatkan sokongan kewangan daripada anak – anak syarikat, syarikat
berkaitan Kerajaan (GLC) Negeri dan syarikat – syarikat swasta di Negeri
Selangor untuk membantu menyediakan peralatan persekolahan termasuk
pemberian beg sekolah dan pakaian seragam untuk pelajar – pelajar
Sekolah Rendah dan Menengah.
Delegasi Kerajaan Negeri Selangor
akan turun ke Negeri Kelantan pada hari ini juga untuk menyampaikan
bantuan disamping mengunjungi Pusat Pemindahan Mangsa Banjir di Kuala
Krai dan beberapa daerah lain.
MMKN juga telah mengambil
keputusan untuk membatalkan semua acara hiburan dan program Temasya
Selangor 15 menjelang Tahun Baru 2015 sebagai tanda kasih dan simpati
kepada semua rakyat yang mengalami bencana banjir dan menjimatkan
perbelanjaan Kerajaan Negeri Selangor.
Kerajaan Negeri Selangor
telah mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam untuk membatalkan program
Jom Heboh anjuran TV3 yang dijadualkan pada 27 dan 28 Disember 2014 di I
– City, Shah Alam atas prinsip yang sama.
Kerajaan Negeri
Selangor menggesa agar Kerajaan Persekutuan meluluskan geran bantuan
bencana alam secepat mungkin bagi membantu kerajaan – kerajaan negeri
mengatasi bencana banjir serta meringankan beban yang dialami rakyat
dalam tempoh yang getir ini.
Kerajaan Negeri Selangor juga telah
berbincang dengan JAIS supaya semua masjid di Negeri Selangor mengadakan
solat hajat sejurus solat Jumaat bagi memohon pertolongan Allah SWT
agar kesejahteraan daun keselamatan rakyat di Negeri Kelantan,
Terengganu, Pahang dan Perak terus
dilindungi dan dipelihara.
MOHAMED AZMIN ALI
No comments:
Post a Comment